Hidup remaja penuh pancaroba. Ada juga yang mengatakan kehidupan
remaja penuh warna-warni. Bagaimanapun, remaja perlukan bimbingan dan
motivasi untuk terus meningkatkan kejayaan dalam pelajaran demi mengejar
cita-cita yang diimpikan.
Kebanyakan remaja lelaki berusia antara 13 hingga 17 tahun sering
terperangkap dengan angan-angan, cinta dan khayalan. Manakala remaja
perempuan pula sering terperangkap dengan masalah cinta dan kematangan.
Mereka yang terlibat dengan masalah ini tidak dapat menumpukan sepenuh
perhatian terhadap pelajaran.
Dalam tempoh usia ini juga kebanyakan remaja mudah terjebak dengan
pelbagai gejala sosial yang menjerumuskan mereka ke arah keburukan.
Bermula dengan berkenal-kenalan melalui perbualan telefon dan facebook,
akhirnya mereka mudah terikut dengan pengaruh kawan dan terbabit dengan
pergaulan bebas serta gejala sosial.
Justeru, remaja perlu mengekalkan dan mengawal minat mereka ke arah
perkara yang bermanfaat dan lebih baik untuk diri dan keluarga. Melalui
minat bermanfaat yang dipupuk sejak kecil seseorang itu dapat
mengembangkan minat dan kecenderungan hingga dewasa. Minat yang baik
seperti membaca, melukis dan bermain alat muzik dikatakan dapat mengisi
kekosongan dan menghaluskan jiwa.
Kajian ahli psikologi pendidikan H W Bernard dalam bukunya Psychology
of Learning (1965), menyatakan remaja perlu mendapat sentuhan motivasi
iaitu proses ke arah membangkitkan, mengekalkan dan mengawal minat.
Oleh itu, melalui motivasi sebagai suatu desakan yang menjadikan
manusia mengubah sikap, minat atau kegiatannya ke arah kebaikan. Ia
dapat menghindarkan seseorang remaja terjebak dalam perkara tidak baik
dan tidak mendatangkan faedah. Sebagai contoh, bidang sukan dan
permainan dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah.
Menurut pakar pendidikan Sharifah Alwiah Alsagof, motivasi juga
dikatakan sebagai perangsang tindakan terhadap sesuatu tujuan yang
dulunya hanya terdapat sedikit atau tiada minat terhadap tujuan tersebut
menjadi bertambah minat. Oleh itu, motivasi penting ke arah mencapai
suatu matlamat tertentu, termasuk mengubah sikap, minat dan tingkah laku
seseorang.
Sesetengah ahli psikologi mengklasifikasikan motivasi kepada motivasi
fisiologi (misalnya keperluan asas manusia seperti makanan, minuman,
seks dan sebagainya) dan motivasi sosial (misalnya berharap mendapat
reputasi dan keuntungan).
Ia terbahagi kepada dua iaitu motivasi asas yang bersifat semula jadi dan motivasi yang dibentuk daripada pembelajaran.
Kajian menunjukkan bahawa keperluan sosial manusia meliputi keperluan
mencapai kecemerlangan, pergaulan sosial, autonomi, pemeliharaan dan
perlindungan, mempengaruhi dan mengawal orang lain, menunjukkan
kebaikan, peraturan dan kekemasan dalam sistem organisasi, hiburan,
rekreasi dan keselesaan yang memerlukan motivasi.
Di sebalik kejayaan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masih ada
pelajar yang kurang cemerlang dan merosot keputusannya. Sepatutnya,
sekolah sudah dapat mengenal pasti kumpulan ini. Kalangan pelajar dari
sekolah yang pencapaiannya kurang cemerlang, kurang baik dan tidak
memuaskan seharusnya diberikan motivasi.
Justeru, pelajar yang kurang cemerlang dalam peperiksaan SPM diberi
kaunseling dan motivasi. Mereka yang berjaya juga seharusnya memberikan
semangat, kata-kata rangsangan, motivasi serta kaedah belajar yang
berkesan dan bergaul dengan mereka yang kurang cemerlang.
Ahli keluarga dan saudara-mara pelajar yang kurang cemerlang juga
wajar memberikan kata-kata semangat dan rangsangan kepada mereka supaya
terus berusaha untuk mencapai kejayaan.
Dorongan dan kata-kata motivasi dapat meningkatkan semangat mereka
dalam pelajaran. Kegagalan dalam peperiksaan bukan bermakna berakhirnya
suatu kehidupan. Banyak mereka yang gagal dalam peperiksaan berjaya
mencipta masa depan dalam bidang lain seperti bidang perniagaan.
Kata-kata motivasi dapat membangkitkan semula semangat dan bangkit
daripada kegagalan untuk mencipta kejayaan yang baru. Napoleon Hill
pernah berkata, apabila anda mempersoalkan kegagalan, sama dengan anda
mengundang kegagalan dan apabila anda mempersoalkan kejayaan bererti
anda akan mengundang kejayaan pula.
Menurut pandangan Babara Cartland, janganlah anda menyesali kegagalan
yang anda alami dengan menuduh orang lain, tetapi akui dengan
sungguh-sungguh kegagalan itu adalah akibat perbuatan anda sendiri.
Sebagai motivasi Robert H Schuller menyatakan, kegagalan tidak
bererti kita mensia-siakan hidup, tetapi bererti kita perlu mulai lagi
dengan cara lain dan lebih giat serta penuh kesabaran.
Begitulah cara mengatasi kegagalan dalam kehidupan. Kebijaksanaan
lebih banyak belajar daripada kegagalan bukan daripada kejayaan.
Kegagalan juga mengajar kita untuk mencapai kejayaan seterusnya.
Setiap remaja memerlukan motivasi dalam mencapai cita-cita terutama
mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Selain itu, remaja juga
mempunyai semangat yang kuat, usaha gigih, tenaga yang mampu untuk
bersaing dalam dunia globalisasi bagi menentukan kejayaan seterusnya.
Minat yang mendalam dalam sesuatu bidang boleh diasaskan dan dicetuskan
melalui motivasi berterusan.
Kebanyakan pelajar yang gagal dalam pelajaran adalah disebabkan
hilang fokus dan minat ke arah pelajaran. Beberapa faktor yang
menyebabkan hal ini berlaku antaranya kurang motivasi daripada ibu bapa,
keluarga, rakan sebaya, guru-guru dan persekitaran yang tidak
menggalakkan.
Melalui motivasi iaitu proses dalaman menimbulkan perubahan tingkah
laku seseorang. Sekiranya perubahan tingkah laku itu yang ditimbulkan
oleh motivasi berpusat pada suatu aktiviti dan aktiviti itu dapat
menghasilkan kepuasan, seseorang individu akan meneruskan aktiviti
tersebut secara berulang-ulang seperti pembacaan, penulisan dan reka
cipta.
Dalam konteks pendidikan, naluri ingin tahu merupakan motivasi. Oleh
itu naluri ingin tahu menjadi penggerak penting yang amat bernilai untuk
memperoleh ilmu pengetahuan. Naluri ingin tahu dalam diri kanak-kanak
lahir secara semula jadi dan harus dipupuk hingga dewasa.
Motivasi berlandaskan naluri ingin tahu adalah ditimbulkan daripada
rangsangan dalam persekitaran. Sikap, harapan dan aspirasi seseorang
pula mempengaruhi motivasinya.
Strategi pengajaran dan pembelajaran juga penting untuk mewujudkan
motivasi. Kesediaan belajar banyak bergantung pada motivasi yang sesuai
dan penting untuk menggerakkan pembelajaran.
Lantaran itu, Islam juga menggalakkan motivasi dalam melaksanakan
setiap ibadah. Melalui rangsangan dan semangat yang gigih, ibadah dapat
dilakukan dengan baik dan sempurna serta berterusan.
Kesabaran ibu bapa juga penting dalam melaksanakan penerusan motivasi
dalam diri seseorang anak berkaitan dengan pelajaran dan ibadah. Oleh
itu, motivasi penting dalam kehidupan untuk mencapai kecemerlangan di
dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment